Hasrat seorang pemuda untuk membeli rokok di sebuah kedai runcit berakhir dengan tragedi apabila maut ditikam bertubi-tubi oleh peniaga terbabit di Taman Bandar Baru Sungai Lalang di sini malam tadi.
Kejadian berlaku pukul 12 tengah malam, apabila mangsa, S. Periyanaiker, 18, dikatakan pergi ke kedai runcit berdekatan rumahnya untuk membeli rokok.
Sebelum kejadian, peniaga yang berusia lingkungan 50-an semasa itu dikatakan sedang minum minuman keras bersama seorang lagi rakan dan enggan melayan atau berurus niaga dengan mangsa.
Bagaimanapun Periyanaiker tetap bertegas mahu membeli rokok sehingga berlaku pergaduhan sebelum dia ditikam bertubi-tubi di bahagian dada dengan pisau.
Mangsa dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim oleh orang ramai yang menyaksikan kejadian itu tetapi meninggal dunia dalam perjalanan.
Tidak lama kemudian, beberapa kenalan mangsa yang mengetahui kejadian dikatakan tidak berpuas hati dengan suspek dan bertindak membalas dendam.Akibatnya, peniaga berkenaan turut mengalami kecederaan parah selepas ditikam oleh beberapa lelaki. Suspek kemudian dihantar ke HSAH dengan bantuan ambulans.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hashim Ali ketika mengesahkan kejadian itu berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Katanya, polis kini melancar gerakan memburu beberapa lelaki yang dipercayai terlibat dalam kejadian tersebut.
rujukan berita: Utusan online
Ditulis oleh : OPAT RATTANACHOT
Or add related content to this report
News Stories | Blogs | Images | Videos | Comments