Ingat kembali sejarah kemalangan jalanraya yang paling ngeri di Kuala Lipis, Pahang supaya anda lebih berhati-hati menggunakan jalanraya yang begitu sesak diambang Aidilfitri ini.
Dalam kemalangan itu, smpat belas orang terbunuh manakala 30 cedera dalam kemalangan membabitkan dua bas dan sebuah kereta di Kilometer 63, Jalan Kuala Lipis-Merapoh.
Nahas yang berlaku pada jam 1.10 pagi itu, bas ekspres Mutiara yang membawa 30 penumpang dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu, bertembung dengan bas sekolah yang menyediakan perkhidmatan tambahan sempena Aidilfitri yang dalam perjalanan dari Pasir Puteh ke Kuala Lumpur bersama 40 penumpang.
Sebuah Proton Iswara yang juga dari arah Kuala Lumpur ke Kota Bharu, turut merempuh belakang bas ekspres berkenaan. Bagaimanapun pemandu kereta itu, Ilham Haris, 24 dan penumpangnya, Norazalina Awang, 26, tidak cedera.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Lipis waktu itu, Deputi Superintendan Mohd Washid Abdul Majid, berkata mangsa yang terbunuh membabitkan
11 penumpang bas sekolah termasuk 10 mati di tempat kejadian dan seorang di Hospital Kuala Lipis, manakala tiga penumpang bas ekspres Mutiara turut mati di tempat kejadian.
Mangsa ialah Ramzi Abdul Hadi, 31; anak perempuannya, Nor Amni, dua tahun dari Kampung Batu Lapan, Kadok, Kota Bharu; Wan Mohd Rizal Wan Ibrahim, 21(Kampung Berangan, Selising, Pasir Puteh); Raja Azhar Raja Deraman, 25 (Kampung Sungai Durian, Bukit Abal, Pasir Puteh) dan Yusriz Herman Roslin,22 (Blok A26, Unit 709 RK Tentera Laut Diraja Malaysia, Lumut, Perak.
Turut terbunuh ialah Hasruamin Hassan, 28 dari No 74, RPP Kesedar Sungai Serah, Gua Musang; Rozniza Jusoh, 24 (Kampung Jerus, Pasir Puteh); NorazilaIsmail, 26 (Belakang Balai Polis, Kampung Selising, Pasir Puteh) dan Ratna Surya Ahmad, 19 (Kampung Banir, Belikong, Pasir Puteh).
Beliau berkata, kejadian itu disedari anggota polis yang membuat rondaan Ops Sikap V di jalan berkenaan, kira-kira jam 1.30 pagi.
“Siasatan mendapati bas ekspres berkenaan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan bas sekolah itu,” katanya.
Berikutan perlanggaran itu, dinding kanan bas sekolah terbabit terkopak menyebabkan kebanyakan mangsa yang mati tercampak ke atas jalan raya.
Beliau berkata, sebaik menerima laporan, pihaknya menghantar 22 anggota polis, lapan anggota Bomba dan Penyelamat serta kakitangan perubatan untuk membantu mangsa.
Katanya, sebaik tiba di tempat kejadian, pihaknya mendapati lapan mayat bergelimpangan di atas jalan raya, dua di dalam bas sekolah dan tiga dalam
bas ekspres. Semua mayat dihantar ke Hospital Kuala Lipis untuk dibedah siasat. Semua 30 orang yang cedera pula dihantar ke hospital yang sama, tetapi hanya
19 masih dirawat, manakala seorang lagi dipindah ke Mentakab serta masing-masing dua di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan.
Beliau berkata, pemandu bas ekspres yang patah tangan dihantar ke HTAA, manakala pemandu bas sekolah hanya cedera ringan.
Katanya, polis menahan reman kedua-dua pemandu bas terbabit bagi membantu siasatan.
Sementara di Kuantan, Trafik dan Ketenteraman Awam negeri pada masa itu , Superintendan Baharuddin Sarbaini, berkata ketika kemalangan itu keadaan jalan dipercayai basah selepas hujan.
Kemalangan maut membabitkan bas ekspres Mutiara juga pernah berlaku sebelumini. Dalam kejadian pada 23 Disember 1999, tiga penumpang maut termasuk seorang rentung manakala sembilan parah apabila sebuah bas ekspres yang dalam perjalanan dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur, terbakar selepas terhumban ke gaung di Kilometer 33.2, Jalan Kota Bharu-Gua Musang di Bayu dekat Paloh.
Or add related content to this report
News Stories | Blogs | Images | Videos | Comments